Fikry, Ben buru cinta - Utusan Malaysia

Fikry, Ben buru cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAIK Fikry Ibrahim, mahupun Ben Amir, kedua-dua nama ini merupakan antara barisan pelakon yang semakin meningkat naik. Bahkan, tidak keterlaluan jika mengatakan mereka juga antara wajah yang sering menghiasi kaca televisyen sejak kebelakangan ini sebagai hero.

Sepanjang pembabitan mereka dalam industri hiburan tanah air, Fikry dan Ben belum pernah disatukan dalam mana-mana naskhah. Bagaimanapun, menerusi drama Encik Imam Ekspres, kedua-dua jejaka kacak ini bergandingan buat pertama kali sebagai abang dan adik.

Menariknya, dalam naskhah arahan sutradara Mohd. Fazli Yahya berkenaan, mereka menaruh hati dan berkongsi rasa kasih dan sayang terhadap wanita yang sama dalam hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika di dunia nyata, memang rasa janggal dibuatnya situasi itu. Bayangkan, hubungan kami sebagai adik-beradik, selepas adik (Ben) putus tunang, saya pula jatuh cinta dengan bekas tunangnya.

“Tak boleh bayang kalau betul-betul berlaku dalam hidup saya. Sedangkan kalau dengan kawan punya bekas kekasih pun seperti mustahil nak bercinta, apatah lagi adik-beradik punya bekas teman wanita,” kongsi Fikry membuka cerita.

Sebelum 30 tahun

Bagi Fikry sendiri, dia sedar, rata-rata naskhah yang pernah dijayakannya, semuanya boleh dikatakan berkait rapat dengan soal cinta dan kehidupan berumah tangga. Bahkan, dalam drama bersiri 14 episod itu juga, dia masih lagi membawakan karya yang mengetengahkan soal perhubungan, cinta dan kasih sayang.

Ironi, pelakon berusia 25 tahun ini masih lagi berstatus solo sehingga kini. Bukan tidak pernah bercinta, sebaliknya, buat masa ini, dia belum menerima kehadiran orang baharu yang berjaya membuka pintu hatinya yang telah tertutup selepas melalui episod patah hati.

“Sebelum ini saya pernah ada kekasih, bagaimanapun, hubungan itu kemudian tidak berpanjangan. Kalau ingat balik kisah putus cinta itu, memang sedih jugalah. Apapun, wanita yang pernah saya sayang itu pun sudah mendirikan rumah tangga pada tahun lepas.

“Bekas kekasih saya itu ada juga menghantar kad undangan untuk ke majlis perkahwinannya, tetapi saya tidak menghadirkan diri ke majlis tersebut,” luah pelakon yang dicungkil bakatnya menerusi program Lawak Solo pada 2016 itu.

Kongsi Fikry lagi, tawaran demi tawaran yang diberikan dalam membawakan watak sebagai suami dan bapa secara tidak langsung menguatkan lagi keinginannya untuk merasai sendiri pengalaman sebenar. Justeru, dia tidak pernah menolak jodoh sekiranya dia dipertemukan dengan mana-mana wanita yang berjaya mencuri hatinya kini.

“Kalau cakap pasal mencari (teman istimewa) itu, memang adalah. Mencari itu tetap mencari juga. Sunyilah juga kalau tidak ada (teman hidup). Bagaimanapun, saya tidak mahu tergopoh-gopoh dalam mencari wanita yang istimewa dalam hidup saya.

“Saya pun ingin berumah tangga. Saya sasar kalau boleh mahu mengakhiri zaman bujang paling lewat pada usia 29 tahun. Ada banyak masa lagi. Ada lebih kurang empat tahun lagi,” kongsinya yang membawakan watak sebagai Ajim dalam drama Encik Imam Ekspres yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria itu.

Dalam pada itu, kata Fikry, biarpun dirinya kini lebih cenderung kepada dunia lakonan di televisyen, seboleh-bolehnya dia masih lagi mahu peminat mengenalinya sebagai seorang pelawak. Ini kerana, status itulah yang menjadi permulaan kepada kariernya sebagai anak seni.

“Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan drama-drama televisyen, Apapun, saya masih lagi mahu dilihat sebagai pelawak. Sebenarnya status saya sebagai pelawak itu juga membuka ruang kepada saya untuk menceburi cabang lain dalam industri hiburan termasuklah bidang pengacaraan.

“Saya bersyukur apabila diberi peluang dan sokongan yang tidak putus-putus daripada semua pihak yang percaya dan yakin dengan bakat yang saya ada. Insya-Allah, selepas ini, saya menyasarkan untuk ke layar perak pula,” kongsinya yang turut tercalon dalam dua kategori di Anugerah MeleTOP Era 2019 nanti.

Wanita aktif

Sementara itu, Ben ketika diaju soalan mengenai perihal teman istimewa memberitahu, buat masa ini, dia belum mempunyai insan yang bertakhta di hati. Baginya, buat masa ini, dia mahu melalui fasa yang mana dia meletakkan karier seni sebagai fokus utama.

“Saya rasa biarlah saya fikirkan kerja terlebih dulu. Banyak lagi yang perlu saya capai dan saya nak lakukan dalam dunia lakonan ini. Bukan tidak ada terfikir nak mencari teman hidup sekarang ini, cumanya, saya merasakan, kalau ada, ada lah, kalau tidak ada pun tak mengapa,” kongsinya.

Bagaimanapun, kata Ben, dia juga seperti insan lain yang pernah melalui fasa bercinta dan putus cinta. Itu adalah lumrah hidup. Bahkan, dia juga tidak menolak sekiranya ada wanita yang ingin berkenalan dengannya.

“Kalau yang menghantar DM (mesej peribadi) terus kepada saya memang ramai. Ada orang dalam industri, ada juga orang luar. Bagaimanapun, saya anggap mereka ingin berkawan. Nak berkawan tidak salah, saya okey sahaja.

“Cuma, kalau ingin berkawan biasanya yang saya akan respons, mereka bukanlah orang yang tidak saya kenali langsung, sebaliknya ada yang mempunyai hubungan atas kapasiti kawan atas kawan. Jadi, sekurang-kurangnya saya tahulah sedikit latar belakang mereka,” kata pemilik nama sebenar Muhammad Amir Sabaruddin itu.

Biarpun begitu, kata Ben, dia mempunyai kecenderungan untuk menjadikan wanita yang mempunyai personaliti yang lasak dan cergas sebagai teman hidupnya.

“Saya sukakan wanita yang menjalani kehidupan aktif dan kekal cergas. Maklumlah, saya ini memang pentingkan gaya hidup sihat. Jadi, itu kriteria pertama yang saya lihat kalau mahu jadi teman hidup.

“Saya melihat secara tersiratnya, individu yang menjalani gaya hidup sebegitu sebenarnya seorang yang berdisiplin, berdedikasi dan mempunyai matlamat dan motivasi dalam hidup. Ini kerana, kalau kita dalam kalangan yang mementingkan kehidupan gaya hidup sihat, mereka perlukan semua elemen itu,” katanya yang menambah bahawa itulah definisi wanita seksi baginya.

Dalam pada itu, Ben yang bergandingan dengan Fikry memberitahu, biarpun ia merupakan hasil kerjasama sulungnya bersama pelawak tersebut, mereka cukup mudah serasi apabila berada di set penggambaran. Katanya, masing-masing tahu peranan yang perlu dibawakan dengan baik.

“Dalam cerita ini saya menjadi adiknya, tetapi hakikat sebenar kalau melihat pada umur kami, saya lebih tua empat tahun daripadanya. Tahun ini usia saya sudah 29 tahun, tetapi dia yang muda pula jadi abang.

“Barangkali orang melihat penampilan imejnya yang berjambang itu nampak lebih matang. Saya ini orang nampak macam muda sikit dengan imej begini,” selorohnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini