LONDON – Prinsipal Pasukan Ferrari, Mattia Binotto tidak akan menyekat kedua-dua pemandunya untuk bersaing sesama sendiri bagi merebut gelaran utama perlumbaan Formula Satu (F1) yang bakal membuka tirainya di Australia pada 17 Mac ini.
Ketika melancarkan jentera di Maranello bulan lalu, Binotto menjelaskan bahawa pihaknya memberi keutamaan kepada Sebastian Vettel untuk menjulang gelaran pemandu dunia musim ini dan akan dibantu oleh pelumba mudanya, Charles Leclerc bagi merealisasikan impian tersebut.
Bagaimanapun situasi tersebut mula berubah apabila Leclerc mempamerkan aksi luar biasa selepas muncul pemandu terpantas pada sesi ujian pramusim pertama di Barcelona manakala juara dunia empat kali, Vettel mencatat masa terpantas pada sesi ujian kedua pada Jumaat lalu.
“Kami tidak mengeluarkan arahan kepada Leclerc untuk berada di belakang Vettel kerana kami mahu kedua-kedua mereka meneruskan aksi cemerlang dalam setiap perlumbaan. Mereka berdua bebas untuk berjuang sesama sendiri merebut kemenangan dalam perlumbaan musim ini.
“Vettel adalah pemandu berpengalaman dan telah bersama kami untuk tempoh yang panjang. Malah Vettel juga telah menjuarai beberapa pusingan perlumbaan dan saya yakin dia adalah calon terbaik bagi pasukan ini. Kami memerlukan kedua-dua pemandu yang terbaik dan Leclerc akan diberi kebebasan untuk berjuang,” kata Binotto.
Dalam pada itu, Binotto turut memuji prestasi yang dipamerkan Ferrari pada sesi ujian pramusim selepas jentera SF90 berjaya mempamerkan keseimbangan yang positif dalam semua aspek, sekali gus yakin mereka mampu tampil agresif pada saingan kali ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang kami capai dan perkara yang paling utama adalah pemandu menemui semula keyakinan yang tinggi ketika menguji jentera ini. Saya yakin kami hanya perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang lain dan bersedia untuk berjuang di Grand Prix Australia nanti,” ujarnya. – Agensi











