PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) menafikan spekulasi bahawa pihaknya telah mencari calon pengganti kepada ketua jurulatihnya, B. Sathianathan selepas skuad Gergasi Merah itu gagal mencatat keputusan cemerlang dalam lima perlawanan Liga Super musim ini.
Setiausaha Agungnya, Johan Kamal Hamidun tampil mempertahankan kedudukan Sathianathan meskipun juara enam kali itu masih lagi bergelut untuk memburu kemenangan pertama selepas tewas 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Shah Alam kelmarin.
Jelas Johan, Selangor masih mahu ‘berguru’ bersama bekas jurulatih kebangsaan itu dan yakin terhadap kemampuannya untuk menamatkan kemarau kemenangan yang dicari-cari skuad Gergasi Merah tidak lama lagi.
“Tidak dinafikan keputusan yang tidak memihak kepada Selangor ketika ini bukanlah seperti apa yang dimahukan oleh semua pihak.
“Tetapi saya perlu menegaskan bahawa kami daripada pucuk pimpinan pengurusan (FAS) sehinggalah pemain masih berdiri teguh di belakang Sathianathan bagi memburu kemenangan pertama pada perlawanan berikutnya.
“Jika terdapat dakwaan FAS sudah ada calon untuk menggantikan Sathianathan, sememangnya perkara tersebut tidak benar sama sekali. Jangan percaya jika terdapat spekulasi berkenaan pada media sosial kerana perkara tersebut adalah tidak betul,” kata Johan kepada Kosmo! semalam.
Johan turut mengakui Selangor semakin menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini dan kekalahan kepada JDT kelmarin adalah kerana pasukan Harimau Selatan itu lebih bagus dalam beberapa aspek di atas padang.
“Kami bukan mencari alasan akan kekalahan (kepada JDT), sebaliknya kami sedang berusaha untuk memperbaiki persembahan di atas padang setiap kali dalam perlawanan. Pemain juga menunjukkan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan, cuma tuah belum memihak kepada kami jika dilihat berdasarkan aksi pertemuan dengan JDT baru-baru ini,” katanya lagi.
Selangor jatuh ke tangga 10 Liga Super selepas mengumpul tiga mata hasil keputusan seri dalam tiga perlawanan serta tewas dua kali sepanjang lima perlawanan musim ini.
Mereka menamatkan saingan musim 2018 di tangga kelapan dan kali terakhir menjuarai gelaran Liga Super ialah pada musim 2010.











