Faiz, Latiff jumpa 'kawan' lama - Utusan Malaysia

Faiz, Latiff jumpa ‘kawan’ lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mac – Kelibat dua bekas tonggak Terengganu, Faiz Nasir dan Latiff Suhaimi menjadi tumpuan utama apabila Selangor menerima kunjungan skuad Penyu dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, esok.

Membawa misi memburu kemenangan pertama di laman sendiri musim ini, kehadiran dua bekas pemain utama lawan itu pasti memberi kelebihan kepada Red Giants.

Prestasi baik pemain sayap lincah yang terkenal dengan julukan ‘Messi’, Faiz ketika bersama skuad kebangsaan diharap menjadi senjata Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi Terengganu, mereka sudah ‘masak’ dengan kelemahan serta kekurangan dua pemain itu, namun buat Selangor Faiz dan Latiff adalah orang yang tepat untuk memberi info tambahan kepada rakan-rakan sepasukan.

“Terengganu pasukan yang kuat dan memiliki ramai pemain berkaliber tetapi kemenangan pertama yang diraih pasukan kami sebelum liga berehat dua minggu lalu telah meningkatkan keyakinan pemain.

“Saya yakin dengan kemampuan anak-anak buah saya, malah Faiz juga menunjukkan prestasi baik dalam penampilan pertama bersama skuad kebangsaan.

“Saya percaya, prestasi itu dapat diteruskan apabila menentang bekas pasukannya, Teremgganu,” kata jurulatih Selangor, B. Sathianathan.

Kemampuan Selangor untuk merobek gawang Terengganu esok bakal teruji sepenuhnya kerana tampil tanpa penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia akibat kecederaan.

Pemain tengah Selangor, K. Sarkunan bagaimanapun sudah pulih dan sedia diturunkan manakala penyerang veteran, Amri Yahyah mungkin berpeluang mengisi kesebelasan utama.

Kali terakhir Selangor menentang Terengganu pada Julai tahun lalu dalam aksi Liga Super menyaksikan Red Giants menang 2-0 menerusi jaringan Syahmi Safari dan Rufino.

Selangor meraih kemenangan pertama musim ini dengan mengalahkan Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Terengganu pula membenam Melaka United 3-0 dalam aksi terakhir ligw, 9 Mac lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini