PUTRAJAYA – Kerajaan akan membina enam buah telaga tiub dengan kos sebanyak RM2.3 juta di empat buah negeri pada tahun ini untuk meningkatkan paras air di dalam saliran bagi melembapkan pelapisan dan permukaan tanah gambut.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, pembinaan telaga tiub itu bagi mengawal sebarang kejadian kebakaran tanah gambut dengan sebuah akan dibina di Dungun, Terengganu; Pekan, Pahang (1); Johan Setia, Selangor (2) dan Beaufort, Sabah (2).
Jelasnya, sejak program pencegahan kebakaran tanah gambut dilaksanakan pada 2009 hingga tahun lalu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah membina sebanyak 85 buah telaga tiub di seluruh negara dengan kos keseluruhan sebanyak RM23.7 juta.
“Negara kita sering mengalami masalah persekitaran seperti jerebu ekoran daripada pembakaran tanah gambut. Masalah ini boleh menyebabkan kemerosotan kualiti udara dan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan, keselamatan dan sosio ekonomi rakyat.
“Sehubungan dengan itu, JMG telah diberi peranan dan tanggungjawab dalam mencari sumber air bawah tanah dan membangunkan telaga tiub serta seterusnya mengepam air ke dalam saliran di kawasan tanah gambut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Xavier, pengepaman akan dibuat apabila berlaku penurunan paras air dalam lapisan gambut sehingga 0.5 meter dari permukaan tanah dan juga apabila kebakaran tanah gambut berlaku.
Jelasnya , tujuan pengepaman adalah untuk meningkatkan paras air di dalam saliran bagi melembapkan pelapisan dan permukaan tanah gambut tersebut bagi mengawal sebarang kejadian kebakaran.
“Air bawah tanah dari telaga tiub ini juga akan digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat
sebagai sumber air bagi kerja-kerja pemadaman api semasa kebakaran tanah gambut.
“Pada masa ini, JMG telah mengaktif pengepaman sebanyak 24 buah telaga air bawah tanah bagi mengawal dan memadam kebakaran yang terjadi di sembilan lokasi kebakaran gambut di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Tambahnya, pembinaan telaga air bawah tanah untuk pencegahan kebakaran tanah gambut telah berjaya menyumbang dalam mengawal dan mengurangkan kebakaran tanah gambut di negara ini. – K! ONLINE











