PUTRAJAYA 15 Mac – Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan memaklumkan empat pusat peperiksaan The Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM) di Pasir Gudang, Johor ditutup.
Lembaga itu dalam kenyataannya memaklumkan, peperiksaan teori A ABRSM yang sepatutnya berlangsung pada esok ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
“Pusat peperiksaan yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 2, SMK Permas Jaya 2, SMK Taman Mount Austin dan SMK Taman Pelangi Indah.
Berita berkaitan:
“Susulan daripada arahan penutupan 111 sekolah Pasir Gudang berikutan bencana pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, pihak lembaga dengan persetujuan ABRSM akan menutup empat pusat peperiksaan terlibat,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memaklumkan kesemua 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang diarahkan untuk tutup berkuat kuasa serta-merta ekoran pencemaran sisa toksik di daerah berkenaan.
Penutupan itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – UTUSAN ONLINE











