KUALA LUMPUR 2 Mac – Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengakui berasa kecewa apabila pasukannya terpaksa berkongsi satu mata selepas seri 1-1 menentang Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.
Skuad The Bos Gaurus itu hampir berjaya membawa pulang tiga mata, bagaimanapun, ketika permainan berbaki seminit, Terengganu dihadiahkan penalti dan Lee Tuck tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya.
“Kami sepatutnya menang perlawanan ini. Pemain mencipta banyak peluang tetapi Terengganu pasukan yang bagus dan bukan mudah untuk kami beraksi menentang mereka di sini. Pemain saya sudah melakukan yang terbaik sepanjang 90 minit.
“Bagaimanapun, penalti hadir pada minit terakhir permainan. Saya berasa kecewa kerana balik dengan satu mata sebab jujurnya kami patut dapat tiga mata. Apa-apapun saya tetap gembira dengan persembahan pemain,” katanya kepada pemberita, semalam.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tidak mempedulikan cakap-cakap orang apabila pasukannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol penalti, malah, dia bersedia memberi surat amaran kepada barisan penyerang skuad Penyu yang masih gagal menjaringkan gol meskipun sudah memasuki lima perlawanan.
“Saya akan memberi amaran kepada penyerang yang masih tidak menjaringkan gol selepas perlawanan. Jika Kipre Tchetche tidak boleh melakukan sesuatu saya terpaksa memberi surat amaran. Dia penjaring kedua terbanyak musim lalu. Bagaimanapun, persembahan dia malam ini lebih baik ketika bertemu Kuala Lumpur, minggu lalu.
“Tentang gol kami, saya tidak fikir itu nasib sama ada penalti atau sebaliknya. Saya tidak kira macam mana gol dijaringkan kerana gol adalah gol,” katanya.










