BALIK PULAU – Seorang pesara operator kilang wanita berputih mata apabila wang simpanan persaraannya berjumlah RM77,500 lebur selepas disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam semalam.
Pesara berusia 56 tahun itu mula terjerat dalam sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya dari Bank Negara ketika mangsa berada di rumahnya di Sungai Ara, Batu Maung di sini kira-kira pukul 9.45 pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, suspek yang memperkenalkan diri sebagai Zahari memberitahu mangsa bahawa dia telah terlibat dalam kegiatan perjudian haram dan kes pengubahan wang haram bernilai RM1.5 juta.
“Mangsa yang ketakutan selepas dimaklumkan akan dikenakan waran tangkap telah mengikut arahan suspek dan memindahkan wang dalam beberapa transaksi yang berjumlah RM77,500 sejak Isnin lalu sebelum menyedari dia ditipu semalam (kelmarin).
“Mangsa dikatakan telah mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang disimpan di Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk membuat transaksi itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











