PETALING JAYA 4 Mac – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki modem internet tanpa wayar yang tidak mengikut piawaian ditetapkan, bulan lalu.
Hong Chung Hing dan Hoo Kah Choon yang masing-masing berusia 33 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.
Mengikut pertuduhan, penghantar makanan dan penyelia tapak itu didakwa memiliki satu peranti internet tanpa wayar tidak mengikut piawaian di tepi Jalan Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 12 tengah hari, 27 Februari lalu.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 239(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE.









