PETALING JAYA – Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki modem internet tanpa wayar yang tidak mengikut piawaian ditetapkan, bulan lalu.
Bagaimanapun, Hong Chung Hing dan Hoo Kah Choon yang masing-masing berusia 33 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mabel S. Muttiah.
Mengikut pertuduhan, penghantar makanan dan penyelia tapak itu didakwa memiliki satu peranti internet tanpa wayar tidak mengikut piawaian di tepi Jalan Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 12 tengah hari, 27 Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 239(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd. Halim menawarkan jaminan RM10,000 setiap tertuduh namun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak-anak guamnya berpendapatan kecil.
Tambahnya, penjamin kedua-dua lelaki itu juga hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sebanyak RM900 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai sebutan kes.
Difahamkan peranti yang tidak diiktiraf oleh Pihak SIRIM itu digunakan oleh segelintir ah long untuk menghantar pesanan ringkas mengenai iklan pinjaman tidak berlesen mereka. – K ONLINE!










