KUALA KANGSAR 27 Mac – Dua subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera akibat letupan kabel elektrik bervoltan tinggi berhampiran pencawang TNB Sauk di sini hari ini.
Kejadian berlaku ketika Mat Sham Hashim, 58, dan rakan sekerjanya, Mohd. Redhuan Mat Nasir, 32, sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di pencawang yang bervoltan 11,000 kilowatt itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.40 tengahari.
Katanya, dua lelaki didapati mengalami kecederaan di muka dan badan akibat letupan tersebut.
“Letupan dipercayai akibat litar pintas semasa kerja-kerja penyelenggaraan yang menyebabkan serpihan kabel terkena dua pekerja itu.
“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dengan menaiki ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











