Dua batang gigi, kesan darah sah milik Nur Aisyah - Utusan Malaysia

Dua batang gigi, kesan darah sah milik Nur Aisyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI – Hasil analisa ke atas dua batang gigi yang ditemui di lokasi mayat kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, dibuang di kawasan gaung Gunung Raya di sini mendapati ia sepadan dengan sampel darah ibu kandung mangsa, Rosmaliah Samo, 32. 

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, analisa terhadap kesan darah pada bantal dan alas tilam yang dirampas dari rumah suspek di kuarters kakitangan Hospital Langkawi (HL) juga berpadanan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) kanak-kanak terbabit.

“Pengesahan itu adalah berdasarkan laporan awal yang diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, suspek lelaki berusia 37 tahun yang tidak bekerja akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret Langkawi pagi esok.

“Suspek kedua yang merupakan isteri mangsa berusia 40 tahun dibebaskan dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah,” ujarnya.

Pasangan suami isteri terbabit sebelum ini direman tujuh hari bermula 7 Mac hingga 13 Mac lalu sebelum tempoh reman disambung tujuh hari lagi sehingga esok.

Kosmo! pada 7 Mac lalu melaporkan tanda tanya mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak awal bulan lalu berakhir dengan kisah sedih apabila polis mengesahkan mangsa dibunuh selepas menemui tengkorak dan cebisan rambut mangsa di Gunung Raya di sini.

Cebisan daripada mayat Nur Aisyah Aleya yang tidak sempurna itu ditemui anggota polis di dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dari Jalan Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi, 6 Mac lalu.

Polis kemudian menemui dua batang gigi dan gumpalan rambut dipercayai milik kanak-kanak perempuan terbabit yang dipercayai menjadi mangsa dera suspek pada hari kedua operasi pencarian dilakukan di lokasi sama.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya, Rosmaliah ketika berada dalam jagaan sepasang suami isteri di kuarters kakitangan HL. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini