Dominasi Mercedes masih kukuh - Utusan Malaysia

Dominasi Mercedes masih kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE – Mercedes mendominasi perlumbaan pembukaan Formula Satu (F1) apabila mempamerkan aksi terbaik selepas muncul juara menerusi kemenangan di tempat pertama dan kedua pada Grand Prix (GP) Australia di Litar Melbourne petang semalam.

Lebih menarik, Valtteri Bottas yang memulakan perlumbaan di petak kedua melakukan kejutan apabila meraih kemena­ngan pada perlumbaan tersebut selepas menamatkan saingan de­ngan catatan 1 jam 25 minit 27.325 saat serta diikuti rakan sepasukannya, Lewis Hamilton yang menamakan saingan di tempat kedua.

Malang menimpa pasukan Ferrari apabila Sebastian Vettel yang dijangka mampu menaiki podium selepas memulakan perlumbaan di petak ketiga terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat apabila dipintas pelumba Red Bull, Max Verstappen yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih menarik, ia adalah podium pertama Honda sejak bersama pasukan Red Bull musim ini. Kali terakhir Honda menaiki podium 11 tahun yang lalu iaitu pada musim 2008 di GP Britain.

“Saya tidak tahu apa yang perlu diperkatakan kerana saya melakukan yang terbaik seawal permulaan perlumbaan. Bagi saya ia adalah perlumbaan terbaik sepanjang karier. Keadaan jentera sangat baik dan saya menyukainya,” kata Bottas sejurus tamat perlumbaan.

Dalam pada itu, pelumba Finland tersebut turut meraih satu mata tambahan selepas muncul selaku pelumba yang melakukan catatan masa terpantas pada perlumbaan tersebut. Kemena­ngan tersebut memastikan Bottas meraih 26 mata keseluruhan dan meninggalkan rakan sepasukan­nya, Hamilton di kedudukan kedua dengan kelebihan lapan mata.

“Saya tahu ia adalah peraturan baharu musim ini dan saya me­lakukan yang terbaik selepas melihat jentera mempunyai kemampuan untuk memecut lebih laju. Saya tahu ia mungkin boleh mendatangkan bahaya tetapi segalanya berjalan dengan lancar. Saya gembira apa yang kami peroleh dan tidak sabar untuk meneruskan perlumbaan sete­rusnya,” tambahnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini