Digelar anjing, Nani Rohayu kalis cacian - Utusan Malaysia

Digelar anjing, Nani Rohayu kalis cacian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIPANGGIL anjing. Itu antara cacian dan herdikan yang dilemparkan kepada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) setiap kali pegawai dan anggotanya terlibat dalam operasi mengawal peserta perhimpunan haram.

AMARATON TASRIP
AMARATON TASRIP 

Ini kerana peserta tunjuk perasaan dan perhimpunan haram kebiasaannya gemar melakukan provokasi terhadap anggota FRU bertugas supaya keadaan menjadi semakin ‘panas’.

Bagi Sarjan Nani Rohayu Maulud, 47, yang telah 22 tahun berkhidmat dalam pasukan tersebut, dia tidak pernah memberikan respon ketika berdepan dengan provokasi yang cuba ditimbulkan peserta perhimpunan haram.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, tidak mudah bagi mana-mana individu untuk menahan perasaan apabila dimaki-hamun dengan pelbagai kata-kata tidak menyenangkan. Namun, semua anggota FRU telah dilatih untuk bersabar.

Katanya, sejak menyertai FRU pada 1997, dia telah bertugas dalam banyak operasi besar melibatkan ketenteraman awam di sekitar Lembah Klang bermula dari perhimpunan reformasi 1998 sehinggalah perhimpunan haram Bersih.

“Sepanjang bertugas, kami dicaci kumpulan penunjuk perasaan dengan pelbagai kata-kata hina seperti anjing, celaka dan bermacam-macam lagi.

NANI ROHAYU MAULUD
NANI ROHAYU MAULUD 

“Tetapi berkat latihan dan ketahanan mental yang disemai sejak menyertai FRU, semua itu dapat diatasi dan keadaan pada masa itu dapat dikawal,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, Nani Rohayu memberitahu, menangani keganasan peserta dalam rusuhan reformasi di ibu negara pada 1998 merupakan antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Menurutnya, tidak cukup dilempar kata-kata kesat, rakan-rakannya turut tercedera akibat dibaling batu oleh perusuh.

“Kami anggota wanita mengawal di belakang, bayangkan peserta perhimpunan begitu taksub dan bertindak agresif seperti dirasuk.

“Akibat tindakan peserta rusuhan itu, ada rakan yang cedera parah dan saya bersyukur ketika itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata anak kelahiran Kluang, Johor ini.

RUSLINA KHAMIS
RUSLINA KHAMIS 

Nani Rohayu memberitahu, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dapat hidup aman damai walaupun dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa.

“Sejak menyertai FRU, banyak unsur-unsur luar yang cuba merosakkan keamanan negara saya dapat dilihat ketika bertugas mengawal demonstrasi jalanan.

“Kadang kala terdetik persoalan di hati saya mengapa perlu ikut negara lain yang suka melakukan demonstrasi sehingga menimbulkan huru-hara dan menyusahkan orang ramai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini