KUALA LUMPUR 13 Mac – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menyenarai hitam sembilan syarikat sedia ada tahun lalu berikutan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Dasar Baharu Lesen Import (AP) Terbuka.
Menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini, proses pemantauan dan pengauditan ke atas syarikat-syarikat AP Terbuka akan dilakukan secara berterusan.
Jelas kenyataan itu, sekiranya didapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana syarat AP Terbuka yang ditetapkan di bawah dasar baharu itu, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik atau membekukan AP yang telah diperuntukkan dan diluluskan.
“Selain itu, tindakan menyenarai hitam syarikat termasuk setiap pemegang saham dan ahli lembaga pengarah syarikat daripada mengemukakan apa-apa permohonan memperoleh AP Terbuka pada masa hadapan selain mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat,” jelas kementerian itu, hari ini.
Dasar Baharu AP Terbuka mula dilaksanakan pada 1 Januari lalu dan pelaksanaan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan pada 23 Disember 2015 untuk meneruskan dasar tersebut dengan beberapa penambahbaikan termasuk memberi peluang kepada usahawan Bumiputera baharu menceburkan diri dalam industri ini.
Dasar baharu itu yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2017 telah ditangguhkan selama kira-kira dua tahun berikutan keadaan pasaran domestik automotif yang tidak menentu.
Mengulas lanjut, jelas kementerian itu, syarat-syarat semasa mengenai kelayakan dan senarai terkini syarikat yang dilantik sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baharu itu boleh dirujuk di laman sesawang www.miti.gov.my.
“Kementerian mengalu-alukan sebarang aduan atau maklum balas mengenai isu berkaitan penjualan AP Terbuka kereta atau motosikal. Aduan boleh e-mel kepada [email protected]
dan identiti pengadu akan dirahsiakan,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, menurut kementerian tersebut, di bawah dasar baharu ini, tiada had untuk keseluruhan AP yang akan diluluskan sepanjang tahun.
Katanya, semua syarikat sama ada sedia ada atau baharu, boleh memohon tambahan AP berdasarkan prestasi jualan.
“Pada masa ini, kebanyakan syarikat baharu masih belum beroperasi sepenuhnya kerana perlu memenuhi beberapa keperluan teknikal dan sedang membuat persiapan pengendalian operasi,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











