KLANG 5 Mac – Cubaan seorang tekong darat membawa 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup keluar dari negara ini berjaya digagalkan apabila dia ditahan di Batu 1, Kunci Air Buang, Tanjung Karang di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek berusia 67 tahun merupakan warga tempatan itu ditahan bersama kesemua PATI berumur 22 hingga 68 tahun yang sedang menunggu untuk dibawa pulang ke Indonesia.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, penahanan terhadap kesemua PATI dan tekong itu hasil maklumat dan risikan di tempat tinggal PATI di sebuah rumah di situ.
“Siasatan awal mendapati tekong ini bertindak ejen penghantaran dan menyediakan tempat tinggal PATI itu. Selain itu, kita juga merampas sebuah kenderaan Proton Waja bersama wang tunai bernilai RM2,000.
“Malah, kita menemukan dadah jenis syabu seberat 465 gram bernilai RM83,700 yang disembunyikan di dalam ruangan sebuah beg yang ditinggalkan oleh PATI yang berjaya melarikan diri. Secara keseluruhan nilai ramlasan termasuk kenderaan ialah RM95, 700,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Khairuddin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati PATI itu dipercayai telah berada di negara ini di antara setahun hingga tiga tahun.
“Bayaran bagi seorang PATI yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM1,800 bagi tujuan penyusupan keluar dari negara ini.
“Kes disiasat Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/60. – UTUSAN ONLINE











