Cuba...bumi yang hilang tuah - Utusan Malaysia

Cuba…bumi yang hilang tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA Cuba jarang-jarang didengari. Ia terletak kira-kira 200 kilometer di tenggara Amerika Syarikat (AS).

Di sana sebutannya ialah Kuba tetapi lidah Inggeris yang kita ikuti membunyikannya Kiuba. Itu enteng. Datang ke kepala saya seperti kilat ialah terbunuhnya Duta Cuba ke Malaysia dalam nahas pesawat MAS akhir 1977 di Tanjung Kupang, Johor.

Semuanya meninggal, termasuk menteri Datuk Ali Ahmad. Nahas itu berlaku akibat percubaan merampas pesawat oleh pihak tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terbayang juga Teofilo Stevenson, juara tinju heavyweight Cuba tiga kali yang memenangi pingat emas Olimpik di Munich, Jerman, 1972; Montreal, Canada, 1976; dan Moscow 1980. Jika blok komunis tidak memulaukan Olimpik Los Angeles, AS, 1984, dunia yakin beliau pasti menjadi juara ke empat kali.

Saya amat kagum melihat secara peribadi bagaimana beliau menjadi juara di Munich. Irasnya macam Muhammad Ali. Lebih tinggi, tiada geram atau marah ketika bertinju. Lawannya terus jatuh terjelepuk apabila kena tumbukan langsung di kepala.

Ura-ura agar beliau bertarung dengan Muhammad Ali secara profesional tidak jadi kerana beliau memilih tinju hanya sebagai sukan dan bukan untuk membuat duit. Kini beliau sudah meninggal menjelang usia 60.

Dua belas tahun dahulu saya berkunjung ke Cuba kerana ingin melihat kesan revolusi 1959 yang dipimpin Fidel Castro, menjejaki langkah Ernest Hemingway, novelis besar AS pemenang Hadiah Nobel 1954 di sana.

Tidak kurang ingin menghayati ibu kotanya Havana yang pernah menjadi syurga dunia bagaikan kota judi Las Vegas, pantai indah Honolulu dan kota pelacuran Bangkok bertaut satu.

Segalanya itu lesap selepas Castro berjaya merampas kuasa dari Presiden Batista yang membiarkan apa saja AS lakukan di bumi Cuba.

Ada pelarian Cuba di AS yang mahukan Cuba kembali seperti dulu. Tumpaskan komunisme dan balik ke kapitalisme. Presiden Trump meluncur di atas sentimen itu.

Beliau cuba menggagalkan pengiktirafan Presiden Obama ke atas Cuba dengan mencari sebab yang tidak masuk akal. Kononnya Cuba menggunakan gelombang udara, seperti gelombang radio dan TV, yang menyebabkan staf kedutaan AS di Havana menjadi uzur.

Ketika di Havana, tip saya kepada pemandu teksi dan pekerja hotel enggan diterima. Terima kasih, kata mereka sambil tersenyum. Di tengah kota, istana presiden dijadikan muzium untuk rakyat melihat sejarah lama yang buruk.

Hemingway menghabiskan masa begitu lama di Cuba. Dia ada rumah di situ. Kedai ‘pub’ jual bir, brandy, whisky dan vodka yang dia bersantai terselit di tengah Havana. Gambar-gambarnya terletak sana sini di ‘pub’ itu, sebagai satu kebanggaan.

Castro suka kepada Hemingway kerana beliau banyak menulis penuh simpati terhadap rakyat jimbil Cuba. Menjelang kemenangan Hadiah Nobel, beliau menghasilkan novelet atau novel nipis bertajuk The Old Man And The Sea (Orang Tua Dengan Laut), kisah seorang nelayan tua di Cuba.

Nelayan itu berperahu kecil, sudah lama tiada tangkapan. Rakan dialognya ialah seorang budak kampung . Mereka menjadi lambang dunia lama yang berlalu dan dunia baru yang menjelang.

Suatu hari nelayan itu pergi jauh ke laut dan berjaya menangkap seekor ikan besar yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ikan itu diikat di perahunya dan dia pun berkayuh pulang.

Sedih sekali, ikan itu diserang jerung, hingga tinggal tulang saja. Tinggallah beliau dengan budak itu berdialog tentang nasib diri dan destinasi hidup pemberian Tuhan. Saya dibawa pemandu teksi ke kampung nelayan itu.

Katanya, memang benar nelayan itu pernah hidup di situ, tetapi namanya ditukarkan oleh Hemingway. Begitu juga budak itu.

Saya perhatikan orang Cuba hidup sederhana. Pendapatan mereka jauh lebih rendah daripada di Malaysia tetapi kos barang-barang asas amat murah.

Memanglah kereta-kereta buatan AS yang diimport sebelum Revolusi 1959 masih digunakan dengan terus dibaiki dan ditokok-tambah.

Penduduknya 11 juta ialah sepertiga dari penduduk Malaysia dan 3.3 % dari penduduk AS. Ekonominya goyah dan persenjataannya lemah. Hanya AS yang mahu Cuba lumpuh, sama sikapnya yang menurut telunjuk Israel terhadap Iran.

AS juga mahu mencekik Rusia, walaupun empayar Sovietnya sudah hancur. Biarlah China dan Rusia bersatu hati mengimbangi AS demi kebaikan dunia.


TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini