MANCHESTER 4 Mac – Pep Guardiola menegaskan, pasukannya tidak terkilan atau boleh digelar ‘tewas’ andai Liverpool merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada hujung musim ini.
Pengendali Manchester City itu menegaskan, pemainnya menunjukkan prestasi jauh lebih baik musim ini berbanding musim lalu, malah telah memecah pelbagai rekod.
City kini muncul pilihan untuk mempertahankan kejuaraan selepas mengalahkan Bournemouth 1-0, Sabtu lalu ketika Liverpool seri tanpa jaringan dengan Everton semalam.
Kegagalan Liverpool mengutip tiga mata penuh di Goodison Park menyaksikan City menerajui liga dengan 71 mata, satu mata mengatasi Reds ketika saingan berbaki sembilan perlawanan.
“Cara kami bermain, jelas kami pasukan yang jauh lebih baik (berbanding musim lalu).
“Semua orang tahu apa yang boleh kami lakukan, malah setiap pemain sering membantu satu sama lain. Dalam situasi begini, kami telah memberikan persembahan terbaik dan jika akhirnya tewas, tiada penyesalan buat pemain kerana mereka tahu apa yang telah mereka lakukan.
“Bagaimanapun sudah tentu kami mahukan kejuaraan, setiap detik pemain mahu memenangi semua perlawanan.
“Saya tidak tahu apa akan berlaku menuju penghujung musim tetapi kami akan memberikan segala-galanya yang terbaik biarpun kami perlu bermain dalam 10 perlawanan lebih banyak berbanding Liverpool,” ujar Guardiola. – AGENSI










