BOURNEMOUTH – Gol tunggal perlawanan jaringan Riyad Mahrez menghadiahkan tiga mata berharga buat Manchester City ketika menewaskan Bournemouth 1-0 pada aksi Liga Perdana England (EPL) di Stadium Vitality malam kelmarin.
Pengurus City, Pep Guardiola menganggap anak-anak buahnya sudah menampilkan aksi terbaik pada perlawanan itu, sekali gus terus memberi cabaran kepada Liverpool dalam perebutan takhta liga.
Beliau mengakui aksi menentang Bournemouth bukan sesuatu yang mudah apabila perlu berdepan serangan balas pantas, selain sukar menembusi benteng pertahanan pasukan tuan rumah itu.
“Apabila menyaksikan pemain-pemain bermain seperti yang dirancang, saya rasa sangat lega. Bagaimanapun, saya masih kecewa apabila teringatkan kekalahan kepada Newcastle United sebelum ini.
“Semua orang tahu bukan mudah untuk melakukan serangan apabila pemain lawan berkampung dalam kawasan mereka. Kami sentiasa melakukan terbaik untuk mencari ruang dan itulah yang berjaya dilakukan oleh pemain,” kata Guardiola.
Bekas jurulatih Barcelona itu juga menghamburkan pujian kepada benteng pertahanan City apabila berjaya menghalang jentera serangan The Cherries daripada melakukan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol.
“Kami menampilkan aksi yang cukup sempurna, mungkin boleh dianggap sebagai antara yang terbaik pernah ditampilkan. Pemain-pemain saya berhak diberikan pujian, lebih-lebih lagi menghalang Bournemouth daripada melakukan percubaan tepat,” ujarnya. – Agensi










