SHAH ALAM 27 Mac – Polis tidak bercadang untuk memanggil jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) yang dikenali ‘Cik Miera’ untuk direkodkan keterangan bagi membantu inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim kerana kes tersebut sudah berada di mahkamah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis tidak boleh campur tangan dalam kes mahkamah dan hanya akan mengambil langkah susulan jika pihak inkues memohon supaya siasatan tambahan dibuat, seandainya ada keperluan untuk mendapatkan keterang ‘Cik Miera’.
“Kes ini merupakan kes mahkamah, kita tak boleh membuat keputusan, biarlah pihak mahkamah tentukan. Polis tidak boleh campur tangan dalam kes mahkamah. Kita tidak hendak nanti, bila kita ambil tindakan, ia bercanggah dengan apa yang berlaku dalam mahkamah.
“Jadi, kita biarkan proses perundangan itu selesai dulu,” katanya kepada pemberita selepas hadir melancarkan Program 1 Masjid 1 Polis anjuran Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.
‘Cik Miera’ pada minggu lalu menerusi laman Facebooknya mendakwa Muhammad Adib sebenarnya dipukul bagi menafikan keterangan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Ahmad Hafizam Hasmi yang menyatakan kecederaan dialami anggota bomba itu tidak menunjukkan seperti dipukul.
Bagaimanapun, jururawat itu kemudiannya telah menarik balik kenyataannya selain turut memadamkan hantaran yang dibuat di Facebooknya selepas perkara tersebut menjadi viral dimedia-media sosial.
Susulan daripada kontroversi berkenaan juga, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad membuat laporan polis ke atas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnahnya mengugut Cik Miera sehingga jururawat tersebut menarik balik kenyataan. – UTUSAN ONLINE











