Cheng Hoe tetap positif - Utusan Malaysia

Cheng Hoe tetap positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mac – Skuad Harimau Malaya tiada pilihan lain kecuali beraksi pada pusingan playoff Piala Dunia 2022, selepas kiraan mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dunia mungkin tidak memihak kepada mereka.

Perancangan awalnya, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berhajat memanfaatkan kesempatan beraksi pada Piala Air Marine 2019 bagi meraih mata yang diyakini dapat membantu mereka mengelak daripada saingan playoff, tetapi ekoran kekalahan 0-1 kepada Singapura, Rabu lalu, ia merencat usaha melonjakkan ranking Malaysia ke tangga ke-34 dalam zon Asia.

Perkara itu diakui Cheng Hoe yang menjelaskan, kemungkinan besar kiraan mata tidak memihak kepada pasukan kebangsaan untuk berada di kedudukan tersebut. Bagaimanapun, pengendali Harimau Malaya itu sentiasa memandang perkara tersebut dari sudut positif dan mahu anak-anak buahnya turut berfikiran sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin dalam kiraan (mata) kita kena main playoff dan semestinya semua bersedia dengan cabaran tersebut. Tetapi, saya faham bukan senang untuk bermain dalam bulan Ramadan dan perayaan (Hari Raya Aidilfitri), namun, itu pengorbanan yang perlu dilakukan pemain.

“Setiap kali kita gagal, ia perlu diambil dari sudut positif dan tidak boleh pandang ke belakang. Mungkin apabila kita bermain pada playoff dan layak ke pusingan seterusnya ia akan menjadi penanda aras untuk beraksi dalam pusingan akhir.

“Sebagai jurulatih saya sentiasa optimis dengan peluang dan pemain-pemain saya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Malaysia akan beraksi bagi penentuan tempat ketiga/keempat Piala Air Marine menentang Afghanistan, esok, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 4.30 petang.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Cheng Hoe berharap pemain-pemainnya mampu bangkit dan melupakan kekecewaan di atas kekalahan kepada Singapura dengan memperagakan aksi terbaik.

“Ya, kita nampak semua orang kecewa terutama pemain, tetapi, kadang-kadang kalah bukan sebab tidak bagus tetapi kegagalan memberi fokus. Saya harap pemain mengambil kritikan sebagai satu motivasi dan turun dengan mentaliti serta memberi aksi terbaik ketika menentang Afghanistan,” tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir mengakui keadaan cuaca membuat pemainnya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri.

“Sudah tentu cuaca memberi kesan kepada kami, tetapi selepas beberapa hari, di sini, pemain dapat menyesuaikan diri dan saya percaya kami akan memberi aksi lebih baik. Pasukan kali ini adalah 90 peratus pemain berbeza ketika seri 1-1 dengan Malaysia (pada 2016), jadi, kami turun untuk menang dan beri cabaran sengit,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini