KUALA LUMPUR 5 Mac – Di sebalik sasaran tinggi muncul juara yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam Piala Air Marine, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagaimanapun mengambil risiko merombak sebahagian besar barisan skuad Piala AFF 2018.

Cheng Hoe hanya mengekalkan 13 daripada 23 pemain yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF, Disember lalu untuk menghadapi cabaran di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 20 hingga 23 Mac ini.
Cheng Hoe juga tidak memanggil Syamer Kutty Abba, Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid dan Syahmi Safari yang diberi laluan untuk menyertai skuad bawah 23 (B-23) negara di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
“Saya kena lepaskan pemain seperti Syamer, Akhyar, Safawi dan Syahmi kerana mereka mempunyai misi yang lagi penting dan pada masa sama, FAM menetapkan sasaran yang tinggi kepada Harimau Malaya.
“Saya kena fikir positif. Mungkin ada pemain yang saya panggil ini boleh diserapkan ke dalam skuad kebangsaan pada masa depan.
“Dalam bola sepak, kita kena berani mengambil risiko dan saya yakin dengan pilihan pemain ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Cheng Hoe menyenaraikan empat muka baharu iaitu Firdaus Saiyadi dari Perak, Faiz Nasir dan Abdul Halim Saari (Selangor) serta Nicholas Swirad (PKNS FC).
Beliau juga memanggil tiga pemain yang sudah lama disisihkan daripada skuad kebangsaan iaitu Hadin Azman S. Kumaahran dan Abdul Latiff Suhaimi.











