ATLET 100 meter (m) lari berpagar wanita, Raja Nursheena Raja Azhar berharap faktor beraksi di hadapan penyokong sendiri mampu membantu dia menewaskan bintang sensasi Indonesia, Emilia Nova pada Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil hujung minggu ini.
Raja Nursheena, 28, diramal berdepan cabaran getir pada kejohanan edisi pertama yang akan bermula 30 hingga 31 Mac ini memandangkan Emilia, 23, merupakan pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 dengan catatan 13.33 saat (s).
Faktor beraksi di gelanggang sendiri dilihat mampu membawa tuah kepada Raja Nursheena selepas pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu pernah menewaskan Emilia yang menduduki tempat keenam pada temasya dwitahunan tersebut tahun lalu.
Bagaimanapun, Raja Nursheena enggan terlalu memikirkan perkara tersebut sebaliknya lebih berminat untuk menumpukan perhatian terhadap lariannya sendiri memandangkan dia baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring.
“Saya ada dengar Emilia akan beraksi pada GP Terbuka Malaysia. Jika benar, ia mampu memberi motivasi kepada saya kerana dia dilihat berada pada tahap terbaik ketika ini.
“Saya pula baru pulih daripada kecederaan, jadi saya tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada pertembungan itu nanti. Namun, ia tidak bermakna saya tidak akan mencuba sedaya upaya untuk menewaskannya.
“Untuk GP Terbuka Malaysia, saya cuma mahu sasar catatan terbaik dahulu supaya dapat melayakkan diri ke Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung tahun ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Selain Emilia, Raja Nursheena juga bakal berdepan saingan daripada dua pelari handalan Korea Selatan, Na Hee Ryu dan Yeonjin Jeong yang masing-masing mempunyai catatan terbaik 13.93s serta 13.75s.
Rekod peribadi terbaik Raja Nursheena pula ialah 13.84s sewaktu meraih pingat gangsa Sukan SEA 2013 di Naypyidaw, Myanmar.











