Bulan madu kerajaan PH sudah tamat- Wakil PH - Utusan Malaysia

Bulan madu kerajaan PH sudah tamat- Wakil PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – Dalam tempoh 10 bulan, rakyat masih belum dapat merasakan perubahan yang jelas terutamanya dalam aspek ekonomi hasil pertukaran pemerintahan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Wong Chen (PH-Subang), perkara tersebut dibangkitkan rakyat di kawasan Parlimennya dan beliau juga percaya, ia turut dirasai rakyat dikawasan Parlimen lain di seluruh negara.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu segera mengambil langkah mengatasi masalah kos sara hidup rakyat terutamanya perkara yang berada dalam kawalan kerajaan walaupun mengakui terdapat juga faktor-faktor yang di luar kawalan kerajaan seperti kerosakan oleh pentadbiran terdahulu dan faktor global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya setuju kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah ambil tindakan yang cukup baik dan drastik dengan menukar dasar cukai kepenggunaan daripada cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kerana secara teorinya SST sepatutnya memberi penjimatan sebanyak RM20 bilion kepada pengguna. Tetapi di peringkat pengalaman pengguna sekarang, pengguna tak terasa sangat penjimatan tersebut.

“Mesej yang saya ingin sampaikan ialah apabila kita merangka dan melaksanakan dasar baharu, kita perlu ambil pendekatan yang pragmatik dan saintifik, bukannya mengambil pendirian berdasarkan ideologi semata-mata,” katanya dalam sesi perbahasan Titah Diraja Sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau dengan itu menegaskan, tempoh bulan madu bagi kerajaan PH telah tamat dan tindakan segera perlu diambil untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Selain itu, Wong Chen turut menggesa kerajaan supaya menyegerakan reformasi politik yang dijanjikan kerana sudah ada profesional dalam bidang perbankan dan kewangan menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kembalinya sistem kapitalisme kroni ke dalam negara.

“Saya mendengar khabar daripada pegawai bank, peniaga dan ahli ekonomi bahawa terdapat kroni yang cuba membuat satu ‘corporate comeback’,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, hasil tinjauan peribadinya, minat terhadap kapitalisme kroni sudah berkuarang dalam kalangan peniaga dan ahli korporat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini