DI Perlis, aktiviti memanjat dinding batu atau disebut sebagai rock climbing semakin popular dengan kawasan Bukit Keteri, Padang Besar menjadi antara lokasi tumpuan aktiviti tersebut.
Keistimewaan Bukit Keteri yang mempunyai pemandangan alam semula jadi memukau itu bukan sahaja menjadi tumpuan peminat sukan tersebut dari negara ini, malah turut menarik perhatian pendaki dari seluruh dunia.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ini adalah hasil usaha sekumpulan anak muda daripada kumpulan Perlis Climber yang sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk membangunkan kawasan untuk aktiviti rock climbing itu sejak 2009.
Untuk rekod, laluan pendakian Bukit Keteri yang berketinggian 131 meter itu adalah merupakan yang paling sukar di Asia, menyebabkannya sentiasa menjadi tumpuan peminatnya.
Baru-baru ini Utusan Malaysia sempat mengunjungi kawasan tersebut dan ternyata meskipun bukan pada hari minggu, namun lokasi berkenaan dipenuhi para peminat sukan itu.
Pengerusi Perlis Climber, Zainol Din berkata, persatuan itu ditubuhkan secara rasmi pada tahun lalu, namun sudah bergerak aktif sejak 1990-an lagi khususnya bagi menarik orang ramai menyertai aktiviti ekstrem dan lasak ini.
Katanya, di Bukit Keteri terdapat sebanyak 63 laluan pendakian daripada yang mudah sehinggalah paling sukar.
“Boleh dikatakan setiap bulan lebih daripada 30 orang pendaki dari seluruh dunia datang ke sini, malah ada dalam kalangan mereka tinggal di negeri ini sehingga berbulan lamanya khususnya untuk menyempurnakan laluan paling sukar itu,” katanya.
Tambah Zainol, selain berperanan menyediakan laluan pendakian serta melatih pendaki baharu, persatuan tersebut bertanggungjawab menitikberatkan aspek keselamatan.
Katanya, selain Bukit Keteri, antara kawasan rock climbing di negeri ini adalah di Bukit Semadong, Gua Kelam, Guar Sami, Bukit Jernih dan beberapa kawasan bukit lain di Perlis.
Sementara itu Setiausaha Perlis Climber, Mohd. Aizat Zahid pula berkata, mereka mengeluarkan modal sendiri iaitu kira-kira RM300,000 untuk menyediakan kawasan rock climbing di negeri ini.
Katanya, mereka mengambil masa selama berbulan-bulan lamanya untuk menyediakan laluan sukar di kawasan pendakian.
“Saya berharap kerajaan negeri mempergiatkan promosi khususnya di kawasan Bukit Keteri kerana bertaraf dunia untuk aktiviti rock climbing. Bukit Keteri adalah lokasi istimewa kerana keindahan alam semula jadinya. Ia juga mempunyai sejarah tersendiri yang menarik untuk diteroka,” katanya.
Dalam pada itu peminat sukan tersebut, Aswadi Akmal Noor, 39, dari Kuala Lumpur berkata, kawasan pendakian yang unik berbanding tempat-tempat lain mendorongnya datang ke Bukit Keteri sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh setahun.
Katanya, rock climbing merupakan sukan yang menguji kekuatan mental dan kemahiran penggunaan peralatan oleh pendaki selain memberi kepuasan yang maksimum.
“Ia juga menguji kita untuk mengatasi ketakutan yang sekali gus boleh diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Saya mengikuti aktiviti ini sejak berusia 14 tahun,” katanya.
Harith Hisham, 25, juga dari Kuala Lumpur berkata, dia pernah mengalami kecederaan serius di bahagian lutut, namun perkara itu tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam aktiviti pendakian itu.
“Selain menguji mental dan fizikal, aktiviti ini membolehkan kita kenal dengan ramai orang khususnya peminat sukan sama dari seluruh dunia,” katanya.











