KUALA LUMPUR 27 Mac – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) tidak berminat untuk mengambil alih operasi syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd. (MAS).
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, bagaimanapun cadangan supaya syarikat penerbangan itu gulung tikar bukan suatu keputusan bijak.
“Terdapat ramai yang hebat dalam MAS dan jenama syarikat itu juga adalah jenama yang baik, jadi saya fikir (MAS) boleh dipulihkan.
Berita berkaitan:
“Pada saya bukan suatu idea yang bijak untuk menutup operasi (MAS), sebaliknya perlu ada usaha untuk memulihkannya,” katanya seperti dipetik menerusi Channel News Asia di Singapura, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menerima cadangan supaya MAS ditutup bagi menangani masalah hutang yang ditanggung syarikat penerbangan negara itu.
Pada Khamis lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan tidak mempunyai kapasiti untuk menyelamatkan MAS dan dalam masa sama ada pihak menyarankan supaya syarikat penerbangan negara itu dijadikan milik rakyat selain diwujudkan konsep wakaf. – UTUSAN ONLINE











