BRN dipercayai dalang letupan bom hingga gegarkan sebahagian Tumpat - Utusan Malaysia

BRN dipercayai dalang letupan bom hingga gegarkan sebahagian Tumpat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT – Kejadian letupan bom di pos kawalan tentera di Ban Sri Phangan, Narathiwat hingga menggegarkan Kampung Simpangan di sini kelmarin dipercayai didalangi oleh pejuang pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN). 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam waktu Malaysia itu, sebanyak 10 buah penduduk di tebing Sungai Golok di sini mengalami kerosakan akibat gegaran dan serpihan letupan.

Sumber keselamatan memberitahu, serangan itu dipercayai dilakukan oleh BRN sebagai reaksi tindak balas pejuang pemisah apabila pihak pemerintah meningkat tekanan dengan menangkap beberapa anggota mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak menolak kemungkinan ini ada kena mengena dengan pilihan raya negara tersebut.  Berdasarkan siasatan yang dijalankan kejadian itu lebih daripada rasa tidak puas hati BRN terhadap tentera Thailand.

“Ini rentetan pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan menangkap beberapa anggota (BRN) sejak kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pihak keselamatan di negara ini akan meningkatkan kawalan bagi memastikan tiada anggota BRN yang lolos ke negeri dan kawalan di sempadan khususnya di sepanjang Sungai Golok dipertingkatkan.

Dalam kejadian tersebut, letupan pertama berlaku di tebing Sungai Golok yang terletak dalam sempadan Thailand sebelum disusuli letupan kedua yang lebih kuat selang beberapa minit kemudian.

Jarak antara kedua-dua tebing ialah 30 meter sahaja.

Akibat letupan itu sebanyak 10 buah rumah di Kampung Simpangan di sini rosak di bahagian cermin, tingkap, siling dan bumbung akibat dihujani serpihan letupan.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada letupan bom motosikal yang menyasarkan pos tentera di Kampung Sri Pagan, Naratiwat atau dikenali Nat Chenderung.

Letupan kedua itu turut menerbangkan serpihan kereta dan motosikal sehingga ke tebing Sungai Golok di negara ini selain kesan letupan itu juga boleh dilihat dari kampung tersebut. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini