PASIR GUDANG 16 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesan terdapat kandungan gas berbahaya hidrogen sianida dalam udara tercemar akibat pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, di sini pada 7 Mac lalu.
Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, hidrogen sianida adalah antara gas berbahaya daripada 15 gas yang dikesan pihaknya ketika melakukan pencerapan kualiti udara.
“Sepanjang operasi dijalankan, bacaan tertinggi yang direkodkan ialah 4.5ppm di Taman Tanjung Puteri pada Rabu lalu. Namun bacaan itu hanya bertahan kira-kira dua jam sebelum kembali ke paras berjaga-jaga.
“Dalam bacaan tersebut, kami mendapati terdapat 15 jenis gas dan satu daripadanya hidrogen sianida,” katanya dalam sidang akhbar di pusat rawatan awal Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.
Yahaya berkata, ada beberapa kawasan dibuat pengungsian selepas mencatatkan bacaan kualiti udara yang tinggi namun tidak merebak ke kawasan lain.
Sehubungan itu, pihaknya mengklasifikasikan kawasan dalam radius 1.5 kilometer dari kawasan sungai tercemar kekal sebagai zon merah walaupun bacaan berada di bawah paras berjaga-jaga.
“Setakat ini, bacaan kualiti udara di Pasir Gudang berada dalam keadaan terkawal dan tidak berbahaya. Walau bagaimanapun kami khuatir cuaca hujan di sini mampu menyebabkan gas berbahaya merebak ke kawasan lebih luas.
“Oleh itu, kita perlu mengharapkan kerja-kerja pembersihan sungai dapat diselesaikan dalam kadar seberapa segera sebelum berlaku perubahan cuaca dalam masa terdekat,” katanya.











