MEWARNAI dunia seni tanah air menerusi bidang nyanyian, lakonan serta pengacaraan, nama Marsha Milan Londoh atau Marsha Milan masih kekal relevan biarpun kebanyakan jenama seangkatan dengannya sudah mula ditenggelami waktu.
Muncul dengan single terbaharu, Bimbang yang mengisahkan tentang keperitan seorang wanita yang dimadukan, penyanyi kelahiran Sabah ini percaya pertaruhan terbaharunya dalam bidang nyanyian akan membuahkan hasil.
Mengakui rasa teruja sama tinggi dengan perasaan gementar bersarang dalam hatinya ketika mahu melancarkan single ini, menurut Marsha, Bimbang merupakan satu projek yang sempurna.
“Lebih setahun lalu sahabat saya, Amylea ajak buat lagu tapi saya tak sempat kerana terikat dengan projek single yang lain pada ketika itu.
“Jadi bila kali ini dia tawarkan lagi sekali, saya terus terima. Lagu ini sebuah karya yang indah dengan melodi dan lirik yang sangat puitis.
“Saya turut bertindak sebagai penerbit dan terlibat secara langsung dari awal hingga akhir dalam proses pembikinan single ini,” jelas Marsha yang terlibat hampir 95 peratus pembikinan keseluruhan single ini.
Tidak dapat menyembunyikan perasaan sebak ketika berkongsi rasa tentang single tersebut, Marsha mengakui lagu itu secara tidak langsung menyentuh tentang survival serta pahit getir selama hampir 14 tahun bergelar anak seni.
Istimewanya, lagu ini turut menjadi antara runut bunyi bagi drama rantaian popular yang mencetuskan fenomena iaitu Nur 2 lakonan Amyra Rosli dan Syafiq Kyle yang bakal bersiaran tidak lama lagi.
“Semua orang tahu tentang fenomena drama Nur sebelum ini. Bila lagu ini dijadikan runut bunyi untuk Nur 2, saya amat teruja kerana kekuatan drama itu sendiri secara tidak langsung membantu melonjakkan lagi lagu saya nanti.
“Insya-Allah saya akan lakukan sebaik mungkin dalam mempromosikan lagu Bimbang kerana saya mahu semua orang sedar akan kewujudan single terbaharu saya,” ujarnya.
Sebak
Bercerita lanjut tentang lagu Bimbang yang mengisahkan tentang kebimbangan seorang wanita apabila pasangannya mencintai wanita lain, menurut Marsha, ia juga sebenarnya boleh dikaitkan dengan perkara lain dalam kehidupan.
“Saya melihat lagu ini dari perspektif berbeza dan mendapati ia ada kena mengena serta sangat dekat dengan kehidupan saya.
“Setiap kali mendengarnya saya berasa sebak. Dalam kesemua lagu saya, yang ini paling menyentuh hati.
“Ia seakan-akan ada kaitan dengan perubahan serta perjalanan kehidupan saya sebelum dan selepas memeluk Islam. Namun biarlah saya pendamkan sahaja perkara ini, biar hanya saya yang tahu,” luah Marsha.
Tidak dapat menahan air mata setiap kali bercerita tentang lagu ciptaan Farouk Roman dan Amylea ini, jelas pelakon dan pengacara ini, dia juga terkenang segala usaha kerasnya dalam menjayakan single tersebut.
“Selain soal peribadi, salah satu sebab lain yang membuatkan saya sebak ialah apabila mengenangkan betapa sukarnya kami mahu mengeluarkan single ini.
“Orang di luar mungkin nampak ia seperti biasa-biasa sahaja tapi bagi saya sebagai artis yang bergerak sendiri, ia sangat sukar. Banyak kekangan terutama dari segi bajet membuatkan saya dan pengurus perlu berusaha keras.
“Namun, apabila kami berhasil menemui penaja, ia satu perkara yang sangat menggembirakan dan akhirnya membuatkan kami sebak bila mengenangkannya,” jelas Marsha.
Gimik
Melihat pada trend artis masa kini yang gemar menghasilkan gimik terutama untuk memperkenalkan sesuatu produk termasuk single terbaharu, Marsha tidak menolak perkara itu sekiranya dilakukan secara logikal.
“Saya rasa trend adalah satu keperluan ketika ini, tapi untuk saya gunakan konsep itu perlu dirujuk terlebih dahulu pada kesesuaian lagu.
“Untuk konsep lagu seperti Bimbang saya rasa tidak kena sebab ia genre balada, bukan rancak atau lagu-lagu yang senang untuk cari idea.
“Kami pun sentiasa fikir idea-idea untuk promosikan lagu ini. Sebelum ini kami ada cipta Bimbang Intro Challenge tapi ia agak sukar kerana hanya melibatkan mereka yang tahu bermain alat muzik.
“ Mungkin selepas ini kami akan gali lagi idea dan saya tidak menolak elemen gimik sebegini untuk memperkenalkan sesuatu produk,” ujar Marsha yang digilap bakatnya daripada program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga.
Apa pun kata Marsha, setiap perkara perlu ada batasnya. Bahkan setiap artis yang menggunakan gimik seharusnya berhati-hati agar kejutan yang dibuat itu tidak melukakan mana-mana pihak.
“Adakalanya geram juga, kenapa perlu gimik yang buruk dan menjatuhkan nama baik sendiri. Apa sahaja yang dilakukan perlu berfikir panjang kerana perkara tersebut akan memberi kesan pada kreadibiliti mereka dalam industri.
“Dalam industri ini, saya bukanlah orang baharu atau terlalu lama, tapi saya tahu apa yang perlu atau tidak untuk menjaga nama baik seorang penyanyi.
“Kebiasaannya, sebelum buat apa-apa saya akan berbincang dahulu dengan pengurus, bagaimana cara untuk ‘menjual diri’ secara positif,” katanya.
Anak
Hampir empat tahun mendirikan rumah tangga dengan suami tercinta, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail, Marsha mengakui sering diajukan soalan berkenaan zuriat.
Tanpa berselindung, dia memberitahu tidak pernah berhenti mencuba untuk memperoleh zuriat, namun rezeki ternyata belum lagi berpihak kepada dirinya.
“Saya sangat teringin! Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya menimang cahaya mata. Buat masa sekarang, belum ada lagi.
“Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkan tentangnya, tak mahu ia menjadikan saya tertekan. Kadang-kadang ada sebab kenapa Allah belum lagi memberi, jadi saya bersabar sahajalah,” ujarnya.
Pernah melakukan alternatif lain seperti bertemu pakar dan melakukan urutan namun menurut Marsha, dia dan suami masih dalam proses menunggu.
“Ada juga berbincang dengan suami tentang perkara ini tapi tidaklah terlalu serius. Kami masih mahu menunggu, semoga ada rezeki untuk kami tidak lama lagi.
“Sekiranya sehingga hujung tahun ini masih tiada rezeki lagi untuk mengandung, mungkin saya akan cuba kaedah In Vitro Fertilization (IVF),” jelas Marsha.
Positif dengan apa yang dimiliki sekarang, jelas Marsha, kehidupannya bersama suami bahagia seperti mana pasangan yang lain.
“Suami sentiasa menyokong, tidak kira saya sebagai isteri mahu pun penyanyi. Dia sentiasa mendorong apa sahaja yang saya lakukan.
“Dia selalu berpesan supaya saya tidak meninggalkan dunia nyanyian kerana dia juga meminati muzik. Malah jika ada apa-apa keraguan, saya suka bertanya kepadanya terlebih dahulu,” kata Marsha mengakhiri perbualan.








