LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan dirinya tidak seharusnya dinilai dengan berapa jumlah trofi yang mampu dimenanginya bersama The Reds, sebaliknya ia adalah kuasa yang layak dilakukan oleh Tuhan sahaja. Pasukan
The Reds kini masih memburu gelaran pertama Liga Perdana England (EPL) sejak 1999 dan musim ini mereka hanya satu mata di belakang pendahulu, Manchester City dan bakal bertemu Porto di suku akhir Liga Juara-Juara.
Meskipun berpeluang untuk memenangi dua trofi pada musim ini, Klopp masih dikritik hebat apabila gagal memenangi sebarang trofi selepas tewas dalam tiga aksi final sejak tiba di Anfield tiga musim lalu.
Klopp yang bakal menyaksikan anak-anak buahnya berhadapan Fulham di Craven Cottage malam ini, enggan melayan kritikan tersebut, sebaliknya hanya mahu memastikan fokus pasukannya berada pada landasan betul menjelang baki lapan lagi saingan EPL musim ini.
“Saya tidak berminat melayan kerenah mereka. Tidak pernah terfikir bahawa saya akan dinilai sedemikian rupa.
“Tugas saya ialah melakukan segala yang termampu untuk membantu pasukan ini mencapai seberapa banyak kejayaan yang mungkin. Saya bukannya mahu diingati selama 50 tahun atau selama-lamanya.
“Saya tidak mahu tahu siapa yang patut menilai saya. Hanya Tuhan sahaja yang akan menilai diri saya dan itu sahaja yang saya tahu.
“Apa yang orang lain bercakap mengenai saya tidak langsung menjejaskan tumpuan dan fokus saya terhadap pasukan ini,” jelas Klopp. – Agensi











