KANGAR 2 Mac – Sindiket pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa menjadi dalang kepada kemasukan ramai pelarian Rohingya ke negara ini.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, Yusof Ali, susulan kejadian 34 orang pelarian Rohingya yang mendarat di pesisir pantai berdekatan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat dekat sini, semalam.
Malah katanya, sindiket tersebut juga didalangi oleh orang Rohingya sendiri yang sudah lama menetap di negara ini.
Dakwa Yusof, sindiket yang bergerak atas nama NGO itu kononnya mahu membela nasib Rohingya dengan menjanjikan peluang pekerjaan khususnya dalam sektor perkilangan dan perladangan di Malaysia.
“NGO ini bertindak seperti ejen dengan menjanjikan peluang pekerjaan kepada Rohingya ini. Kemudian mereka (ejen) akan menjual orang-orang Rohingya ini dengan kilang-kilang yang mengambil golongan ini bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Yusof turut mendakwa, golongan Rohingya ini juga dipaksa membeli kad pintar dengan harga RM500 sehingga RM800 oleh individu yang mengaku daripada NGO terbabit.
Dakwanya, kad yang dijual itu kononnya boleh membantu pelarian berkenaan apabila diusir keluar dari Malaysia dan hampir menyerupai
kad yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada golongan Rohingya sebelum ini.
Katanya, kegiatan itu berlarutan sejak setahun lalu, apabila kira-kira 190,000 etnik Rohingya di seluruh negara diajak berkumpul di Kuala Lumpur dan Kelantan untuk membeli kad berkenaan.
“Mereka kata kad ini boleh bantu apabila ingin membuka buku bank, ambil lesen memandu, buka kedai dan pelbagai lagi fungsi lain. Bangsa Rohingya ini terperdaya dan mereka ambillah,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof memberitahu bahawa dia ada dihubungi salah seorang pelarian yang mendarat di Perlis semalam kira-kira dua minggu lalu iaitu sebelum mereka memulakan pelayaran ke Malaysia.
“Mereka dipercayai akan dihantar bekerja di Pulau Pinang dengan didalangi oleh ejen. Pelayaran itu melibatkan seramai 300 orang yang disumbat ke dalam beberapa bot, namun tidak diketahui ke mana mereka akan mendarat.
“Sepanjang tempoh dua minggu itu saya tidak lagi menerima apa-apa panggilan dari mereka. Saya percaya ada lagi beberapa buah bot pelarian Rohingya sedang menuju masuk ke perairan Malaysia,” katanya.- UTUSAN ONLINE











