KUALA LUMPUR 4 Mac – Tarikh 15 Mac dinanti penuh debaran oleh pemain Perlis kerana pada hari tersebut status sama ada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) layak menerima peruntukan geran akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, sekali pun Singa Utara disahkan tersingkir daripada Liga Malaysia (Liga M), namun sama ada mereka layak mendapat peruntukan geran atau tidak belum diputuskan.
“Status geran tersebut akan diketahui selewat-lewatnya 15 hari bulan tetapi status Perlis sendiri itu kekal disingkirkan daripada Liga Malaysia seperti mana diumumkan dalam keputusan rayuan,” katanya pada majlis undian Piala FA 2019 di sini hari ini.
MFL pada pertengahan bulan lalu telah menerima kesemua dokumen daripada tujuh pasukan Liga Malaysia yang menghadapi masalah tunggakan gaji untuk diteliti, sebelum mengeluarkan keputusan sama ada mereka layak menerima geran tahunan atau tidak.
Biarpun tidak menyatakan jumlah geran yang sepatutnya dinikmati pasukan berkenaan musim ini, namun berdasarkan pembayaran tahun lalu, pasukan Liga Super akan menerima RM3 juta manakala RM1 juta untuk mereka yang beraksi di Liga Perdana.
Sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Yusoff Mahadi tidak menolak kemungkinan geran peruntukan itu akan dikekalkan buat Perlis.
Bagaimanapun, selepas Perlis disingkirkan dalam saingan Liga Perdana, tiada lagi sebarang keputusan berhubung status geran buat pasukan itu yang berjumlah RM1 juta.
Difahamkan, jika Perlis berjaya mendapat geran, MFL sendiri akan menggunakan sumber kewangan tersebut untuk melunaskan hutang gaji pemain Singa Utara. – UTUSAN ONLINE










