KUALA LUMPUR 5 Mac – Selepas Khoo Poay Ting enggan meminta maaf, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik memberi cabaran baharu buat Ahli Parlimen Kota Melaka itu.
Dalam satu kenyataan dalam laman Facebook miliknya hari ini, Rahim mencabar Poay Ting supaya mendapatkan pakar fotografi untuk menyelidik kesahihan video seks melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggemparkan negara kira-kira 8 tahun lalu.
Rahim membuat cabaran itu setelah Poay Ting enggan meminta maaf atas kenyataan yang dibuat pada Disember lalu yang antara lain meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak permohonan masuk parti oleh Rahim yang disifatkan sebagai ‘bapa segala skandal’ kerana didakwa terlibat dengan skandal rogol gadis bawah umur dan penyebaran video seks palsu.
“Dia kata saya merogol seorang gadis Melayu bawah umur, sedangkan saya tidak pernah pun didakwa atau dihukum tentang apa yang dituduh! Jadi, bila pula saya bersalah merogol gadis Melayu?
“Khoo (Poay Ting) kata saya terlibat dalam penyebaran video seks, saya cuma ikut bersama dengan ‘orang’ yang membikin video itu. Bukan saya yang membikinnya! Saya cuma berminat untuk menegakkan kebenaran. Itu saja!” katanya.
Rahim turut menegaskan, walaupun dia pernah disiasat untuk kes rogol yang dikaitkan dengannya, tiada sebarang hukuman dikenakan dan siasatan itu secara tidak langsung membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut.
Manakala bagi isu video seks pula, beliau berkata sebagai seorang Islam, beliau percaya dengan sumpah laknat yang dibuat oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah, individu yang bertanggungjawab membuat video seks yang dikaitkan dengan Anwar pada tahun 2011.
Poay Ting sebelum ini menegaskan beliau tidak akan meminta maaf dan membayar pampasan RM1.5 juta seperti yang diminta Rahim.
Beliau turut mempersoalkan adakah Rahim hanya mengambil tindakan selepas dua bulan beliau mengeluarkan kenyataan tersebut kerana permohonannya memasuki Bersatu telah ditolak.
Untuk dakwaan tersebut, Rahim menafikan kaitan tindakannya itu dengan mana-mana parti, baik Bersatu mahupun DAP.
“Kes ini antara saya dengan dia. Itu saja,” katanya. – UTUSAN ONLINE











