Beng Choo tangani kes gangguan atlet - Utusan Malaysia

Beng Choo tangani kes gangguan atlet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mac – Bekas setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo mengetuai Jawatankuasa Gangguan dan Penderaan yang bakal ditubuhkan untuk memantau isu gangguan terhadap atlet.

Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkata pihaknya masih dalam proses membentuk jawatankuasa bebas tersebut untuk menguruskan isu berkaitan dengan gangguan dan penderaan, termasuk gangguan seksual yang dihadapi oleh atlet.

“Sebenarnya idea ini sudah lama wujud daripada Menteri Sukan dan Belia sebelum ini, Khairy Jamaluddin, dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) diminta untuk mengendalikan jawatankuasa ini melalui jawatankuasa terdahulu, iaitu yang panggil Jawatankuasa Sukan Berprestasi Tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia berfungsi seperti Talian Nur, sekiranya atlet menghadapi penderaan atau gangguan seksual, mereka boleh hubungi kami menerusi talian ini, yang akan diumumkan kemudian. Talian ini akan sampai kepada safe guarding officers untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Piala Dunia dan Kejohanan Empat Benua Kumpulan Gimnastik Estetik di Singapura bermula 1-4 April ini, di Wisma UFL, hari ini.

Bekas pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Ketua Kontinjen negara bagi Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin berkhidmat selaku timbalan pengerusi manakala Zaiton Othman memegang jawatan setiausaha jawatankuasa itu yang akan bergerak bersama dengan pusat sehenti atlet yang bakal diwujudkan di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

Zaiton berkata jawatankuasa itu bakal dianggotai oleh beberapa bekas atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum dan buat masa ini, mereka berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang bayaran.

“Kita tak menamakan jawatankuasa ini sebagai jawatankuasa gangguan seksual kerana gangguan atau penderaan ini meliputi pelbagai gangguan termasuk seksual,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini