KUALA SELANGOR – Taktik licik sebuah pusat hiburan menawarkan tarian pentas yang menjolok mata bagi menarik pelanggan terbongkar selepas premis yang terletak di Jalan Pening Sula Utama, Peningsula Park, di sini diserbu pihak berkuasa awal pagi tadi.
Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula kira-kira pukul 1 pagi.
Ketua Operasinya, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, hasil serbuan di premis yang berada di deretan rumah kedai itu berjaya menahan tujuh individu terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita.
“Tiga wanita warga asing yang ditahan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO). Semakan mendapati dua wanita terbabit merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi warga Laos.
“Dua lelaki tempatan yang ditahan itu pula merupakan pekerja serta penjaga premis dan dua lagi wanita yang ditahan iaitu warga tempatan bekerja sebagai penari pentas,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen.
Selain itu, katanya, premis tersebut juga turut menawarkan kalungan bunga berharga antara RM50 hingga RM100 kepada pelanggan yang mahukan layanan istimewa daripada GRO yang menari di atas pentas.
Tambah beliau, pelbagai barang telah dirampas antaranya alatan muzik, kalung bunga, mahkota serta wang tunai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat- Tempat Hiburan Selangor 1995. – K! ONLINE











