SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas pengarah syarikat pembinaan dan kejuteraan menerima rasuah dan pengubahan wang haram tujuh tahun lalu menerima padah apabila didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Affendy Baharom, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua kesalahan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Affendy didakwa atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM270,000 semasa memegang jawatan Pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn. Bhd. melalui empat transaksi cek RHB Bank Berhad daripada seorang pengarah syarikat Malim Resources.
Kesemua suapan ini sebagai upah membantu syarikat Malim Resources mendapatkan kerja-kerja pembinaan jaringan rangkaian saluran paip hidran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berharga RM7.186 juta pada 30 April 2011.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Berhad cawangan Kelana Jaya dan Maybank cawangan TTDI Jaya di sini secara berperingkat pada Mei, Jun, Ogos dan Oktober pada tahun 2012.
Sehubungan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Tertuduh juga didakwa tiga pertuduhan terlibat dalam pengubahan haram bernilai RM220,000 dengan menerima tiga keping cek RHB Bank Berhad melalui akaun syarikat miliknya iaitu AB Multi Tech Services.
Perbuatan itu dilakukan di Maybank cawangan TTDI Jaya di sini secara berperingkat pada Mei, Ogos dan Oktober.
Jika sabit kesalahan, Affendy boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM5juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Suffian Ja’afar menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasport ditahan mahkamah.
Bagaimanapun, Peguam Muhammed Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh memohon wang ikat jamin dikurangkan atas alasan tertuduh perlu menanggung lima orang anaknya selain sentiasa bekerjasama sepanjang siasatan SPRM.
Rozilah kemudiannya menetapkan jaminan RM100,00 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh ditahan mahkamah. – K! ONLINE











