KUALA LUMPUR 8 Mac – Wad Bersalin Hospital Sungai Buloh, Selangor hari ini kecoh selepas didakwa terbakar susulan beberapa pesakit terhidu bau hangit dan terlihat kepulan asap dari bilik pemeriksaan Kardiotikografi (CTG) di hospital tersebut, hari ini.
Difahamkan, ekoran insiden mengejutkan itu, semua pesakit telah dipindahkan ke tempat selamat kira-kira pukul 6.10 petang
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.54 petang sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan tiada sebarang kebakaran berlaku dan hanya mendapati bau hangit,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Tambahnya, keadaan sudah dilaporkan selamat ketika ini dan pasukan keselamatan dan kejuruteraan hospital sedang mencari punca kejadian. – UTUSAN ONLINE











