SAUDARA PENGARANG,
SAYA tersentuh melihat situasi ibu mengendong bayi dan anak kecil sambil mengemis di hadapan bank-bank semakin menjadi-jadi. Saya ingin menarik perhatian pihak berwajib tentang perkara ini. Sebagai contoh berlaku pada suatu malam di hadapan Maybank Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Maybank Ampang Point, Selangor. Kelihatan seorang ibu mengendong bayi dan anak kecil sekitar usia tiga tahun sambil duduk meraih simpati daripada orang ramai agar menghulurkan sedekah. Situasi ini menjentik hati saya, di manakah suami perempuan tersebut atau bapa kepada anak kecil itu? Layakkah seorang anak kecil dan bayi diperlakukan sedemikian yang sepatutnya berada di rumah pada waktu itu?
Justeru, saya mohon pihak berwajib agar membuat siasatan atau mengambil inisiatif membanteras budaya mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak sebegini sekiranya ia melibatkan unsur paksaan dalam keluarga atau wujud sindiket mempergunakan golongan itu. Jika ia melibatkan bukan warganegara, di manakah undang-undang kita selayaknya menangani isu ini? Rakyat Malaysia memang mudah memberi dan bersimpati tetapi dari satu aspek lain, hak seorang isteri dan anak tiada pembelaan sewajarnya.
JENTIK HATI
Ampang, Selangor










