PUTRAJAYA 4 Mac- Setiap bantahan mengenai calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau perlu dibuat melalui Majlis Kepimpinan Negeri sebelum ianya dibawa ke mesyuarat Biro Politik PKR.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, apabila mesyuarat Biro Politik PKR bersidang, semua pandangan yang menjadi asas kepada bantahan akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Setakat ini, calon belum dimuktamadkan. PKR lazimnya mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan dan kita masih dalam proses untuk mengenalpasti nama-nama calon sebelum ianya dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai bantahan Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau yang menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr. S. Streram sebagai calon PH dalam PRK DUN tersebut.
Antara sebab penolakan itu ialah, Streram yang juga merupakan Penyelaras DUN Rantau itu bukan merupakan anak jati kawasan berkenaan dan dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.
Mengulas lanjut, Saifudin berkata, seperti sedia maklum, Streram merupakan calon PH yang menerima watikah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun, kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan Datuk Seri Mohamad Hasan menang.
“Ketika itu, undi Parlimen di kawasan berkenaan kita menang dan sekiranya ada pertandingan peringkat DUN, Mohamad akan kalah. Ketika itu pengundi tidak undi untuk DUN. Mereka hanya undi untuk Parlimen dan kita menang di situ,” katanya.-UTUSAN ONLINE










