KUALA LUMPUR 12 Mac – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan penajaan biasiswa bagi lanjutan pengajian ke peringkat Asasi dan Sarjana Muda di institusi pengajian di dalam dan luar negara.
Permohonan dibuka kepada smua warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun yang melanjutkan pengajian semester pertama secara sepenuh masa dalam bidang data sains, pengkomputeran, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan kemanusiaan.
Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin berkata, pihaknya membuka peluang kepada pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Asasi atau Matrikulasi dengan syarat memperoleh lapan A.
Berita berkaitan:
“Manakala pemohon peringkat sarjana muda perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kesleruhan (PNGK) 3.50 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), asasi, matrikulasi atau diploma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program pelancaran Biasiswa YBR oleh Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso di Menara Kembar Bank Rakyat, pagi ini.
Permohonan Biasiswa YBR ini dibuka bermula dari 31 Januari lalu hingga 28 Mac ini dan permohonan boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar MyYBR dan laman web www.yayasanbankrakyat.com.my. – UTUSAN ONLINE











