JOHOR BAHRU – Sampel sisa toksik yang diletakkan dalam makmal di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dilaporkan mengalami kebocoran sehingga menyebabkan seorang penolong jurutera pengsan dan dikejarkan ke hospital.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, semua yang berada di bangunan JAS terbabit terpaksa meninggalkan bangunan selepas pihak bomba mengeluarkan arahan pengungsian bangunan.
Pegawai Unit Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Mohd Hairinizam Mostapa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.28 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota bersama tiga jentera diarahkan ke lokasi kejadian yang terletak di Jalan Pertama, Pusat Perdagangan Utama, Taman Tampoi Indah di sini.
“Bomba menerima panggilan daripada JAS Jabatan yang memaklumkan bahawa terdapatnya kebocoran sampel sisa toksik di dalam makmal jabatan itu.
“Terdapat seorang mangsa yang juga penolong jurutera jabatan itu berusia 30 tahun pengsan dan sudah dihantar ke hospital oleh orang awam.
“Kita mengarahkan kakitangan JAS untuk membuat pengungsian bangunan sementara pasukan HAZMAT yang berada di lokasi membuat penyahcemar serta membuat kekangan terhadap sisa toksik itu daripada merebak,” katanya.
Mohd Hairinizam berkata, siasatan terhadap kes itu masih dijalankan. – K! ONLINE.











