KUALA LUMPUR 2 Mac – Angkatan Perpaduan Tanah Air meluahkan kekesalan berhubung isu pertukaran bekas Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood ke Kementerian Wilayah Persekutuan.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, pertukaran Azman kembali ke jabatan lamanya iaitu Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Air di kementerian itu dibuat dalam tempoh yang singkat tanpa alasan munasabah.
“Amat dukacita sekali apabila seorang pegawai yang berdedikasi mempunyai corak kepimpinan berani dan tulus dengan rekodyang sangat cemerlang dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan dikorbankan demi menjaga kepentingan ‘taikon-taikon’ yang mempunyai kepentingan dalam aktiviti haram.
“Kami antara NGO yang terlibat selama ini terkejut dengan pertukaran yang tidak masuk akal di saat DBKL sedang rancak dan terkedepan berbanding pihak berkuasa tempatan lain dalam melaksanakan pelbagai pembaharuan dan peraturan penguatkuasaan demi kesejahteraan warga kota,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya mendesak Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad supaya mempertimbangkan semula pelantikan Azman untuk terus kekal memimpin Jabatan Penguatkuasaan DBKL.
“Ini untuk memastikan rakyat tidak memandang sinis dengan keputusan yang nampak tergesa-gesa dan terdesak seolah-olah menerima tekanan daripada suara ghaib sedangkan kerajaan cuba menunjukkan corak kepimpinan yang tulus dan amanah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











