LITCHFIELD, New Hampshire – Seekor ayam belanda jantan dirakam berada di tengah-tengah jalan raya seolah-olah ‘mengawal’ lalu lintas bagi memastikan kawanannya selamat melintas, lapor akhbar Daily Mail baru-baru ini.
Seorang pemandu, Donald Pomerleau merakam video ‘kawalan lalu lintas’ unik melibatkan kawanan ayam belanda tersebut dari dalam keretanya ketika melalui lokasi kejadian di sini.
Rakaman berdurasi 1 minit 20 saat itu menunjukkan seekor ayam belanda jantan mengekori kawanan tersebut yang terdiri daripada beberapa ekor ayam belanda betina dan anak-anak ayam sebelum ia berhenti dekat garisan pembahagi jalan berwarna kuning.
Ayam belanda tersebut dilihat menjalankan ‘tugasnya’ dengan baik, manakala beberapa buah kereta menunggu dengan sabar sehingga kesemua ayam tersebut selamat menyeberang.
Ayam belanda jantan tersebut terus menunggu sehingga semua ayam lain melintas dan hanya meninggalkan lokasi selepas ayam belanda terakhir berada di seberang jalan. – Agensi











