WELLINGTON – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah menerima ugutan bunuh melalui media sosial.
Media di New Zealand, NZ Herald melaporkan, pihak polis menerima hantaran melalui laman sosial Twitter yang mengandungi gambar senjata api dan tulisan kapsyen “You are next” (Selepas ini kamu) yang dihantar kepada Ardern.
Difahamkan, hantaran itu telah dimuat naik lebih 48 jam lalu sebelum akaun Twitter berkenaan digantung selepas menerima laporan pelbagai pihak.
Hantaran lain yang dikaitkan dengan Ardern dan polis juga memiliki gambar dan kapsyen yang sama.
Akaun Twitter itu telah digantung kerana mengandungi kenyataan anti-Islam dan kebencian.
Jurucakap polis memberitahu NZ Herald: “Polis dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut”. – Agensi










