APMM berkas tujuh PATI di perairan Port Dickson - Utusan Malaysia

APMM berkas tujuh PATI di perairan Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui perairan Port Dickson semalam.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Amran Daud berkata, PATI terbabit ditahan semasa cuba memasuki Malaysia menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran berhampiran Pulau Perjudi dekat sini.

Menurut beliau, kesemua lelaki warga Indonesia berusia antara 15 hingga 46 tahun itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun di sekitar Kuala Lumpur.

“APMM turut memberkas seorang tekong warga Indonesia dalam tangkapan kira-kira pukul 11 malam itu.

“Tangkapan ini hasil operasi khas selepas menerima maklumat pergerakan sebuah bot mencurigakan dari perairan Indonesia ke perairan Sungai Sekawang, Pasir Panjang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Amran berkata, anggota APMM bagaimanapun terpaksa mengejar bot tersebut selama 10 minit sebelum dapat memintas dan menahan bot itu pada kedudukan 0.6 batu nautika dari selatan Pulau Perjudi.

Kata beliau, kesemua PATI yang ditahan terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari  sehingga 18 Mac ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN