KUALA LUMPUR 30 Mac –Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam mempertikaikan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu mendedahkan secara umum laporan disediakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).
Ramon yang merupakan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, turut mempersoalkan rasional di sebalik tindakan untuk tidak mendedahkan laporan CEP tersebut memandangkan laporan itu tiada kena mengena dengan isu keselamatan mahupun pertahanan negara.

“Dari awal lagi, saya menegaskan bahawa laporan CEP harus didedahkan secara terbuka. Saya berharap agar laporan itu didedahkan sepenuhnya.
“Apa yang mahu disembunyikan? Laporan itu tidak ada kaitan dengan isu keselamatan atau pertahanan. Barangkali ia mengenai sosioekonomi yang mana kita harus bersikap adil, terbuka dan telus sekiranya mahu menangani cabaran dan prospek masa depan dengan penuh integriti.
“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahuinya malah kita tidak boleh mentadbir negara secara rahsia,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramon berharap agar segala pandangan yang dikemukakan oleh Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin dilaksanakan oleh kerajaan.
“Daim merupakan bekas majikan saya di Perbendaharaan, apa yang beliau nyatakan amat penting dan berasas, jadi saya harap pandangannya dilaksanakan oleh kerajaan kerana idea beliau adalah wajar,” katanya.
Memetik laporan The Star Online hari ini, Daim menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi mendedahkan laporan 100 hari CEP secara umum kepada orang awam.

Daim bagaimanapun berkata, beliau bersama anggota CEP lain menyokong supaya laporan CEP yang mengandungi pelbagai cadangan daripada mereka didedahkan kepada orang awam.
“Saya akan mendedahkannya kepada orang awam tetapi untuk melakukan perkara tersebut, saya tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Saya diminta untuk mengetuai mesyuarat dan mendapatkan maklumat, fakta, menganalisis dan membuat cadangan.
“Peranan sebagai Pengerusi CEP hanya terhad setakat itu dan saya tidak boleh melampauinya,” kata beliau.
Sementara itu, menerusi laporan berasingan dalam The Star Online, Ahli CEP, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundram menjelaskan walaupun sebelum ini terdapat isu sentitif dalam laporan yang disediakan majlis tersebut tetapi kini perkara itu tidak perlu dibimbangkan lagi.
Sehubungan itu, Jomo dalam nada yang sama dengan Daim turut menyokong agar laporan CEP yang disediakan mereka itu didedahkan secara umum.,” ujar beliau.











