Apa jadi pada skim Rumah Mampu Milik Johor? - Utusan Malaysia

Apa jadi pada skim Rumah Mampu Milik Johor?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mac. – Hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk mengurangkan kuota bumiputera bagi lot industri semakin membimbangkan rakyat Johor.

Ketua Pemuda UMNO Sembrong, Hafiz Ariffin menganggap tindakan itu tidak akan membantu rakyat, malah tidak mampu menyelesaikan isu rumah tidak terjual di negeri itu.

“Kerajaan negeri tidak sepatutnya tunduk dengan apa-apa desakan pengurangan kuota sebaliknya kerajaan negeri perlu menggesa pihak pemaju menetapkan harga jualan bagi sesuatu projek adalah mampu dibeli sebelum meluluskan apa-apa projek pembangunan.

“Peranan kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi penentu dan perunding kepada pihak pemaju untuk menetapkan harga rumah pada kadar yang munasabah bagi memastikan ianya benar-benar boleh dijual dan dimiliki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hafiz mengingatkan Kerajaan Negeri Johor tentang inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini iaitu Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang kini sepi tanpa berita.

Kata Hafiz, tujuan pelaksanaan RMMJ adalah supaya keupayaaan membeli golongan bumiputera dapat dikembalikan agar mereka dapat memilik rumah pada paras harga mampu milik.

“Skim RMMJ sepi begitu sahaja, malah kini kuota bumiputera dikurangkan. Lebih mendukacitakan skim FundMyHome pula yang diperkenalkan memberi kelebihan kepada pemaju berbanding pembeli,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse memberitahu 10 peratus kuota bumiputera bagi lot industri akan dikurangkan.

Ini kerana pemaju projek perindustrian menyuarakan kebimbangan terhadap lot tanah yang tidak terjual dan mereka meminta bantuan daripada kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN