Anwar dedah Streram pernah berbakti di Afghanistan, Sudan - Utusan Malaysia

Anwar dedah Streram pernah berbakti di Afghanistan, Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan beberapa sebab utama pakar bius, Dr. S. Streram dikekalkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara sebab Streram dikekalkan sebagai calon oleh PKR walaupun ada pihak meminta PH meletakkan calon Melayu kerana pakar bius itu berjiwa kemanusiaan.

Beliau mendedahkan, Streram pernah berkhidmat sebagai doktor di Afghanistan dan Sudan bagi membantu umat Islam yang berada dalam kesusahan di sana secara sukarela.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia doktor bius. Dia India beragama Hindu, tetapi secara sukarela pergi ke Afghanistan tolong orang Islam yang luka parah. Bukan dibayar. Pergi Sudan jadi sukarelawan bantu orang Islam yang susah.
 
“Itu sebab saya tidak sampai hati nak tukar (calon). Saya dukacita kalau sekarang ada antara kita bangkit isu calon Melayu atau India. Dia pergi bertarung nyawa di Afghanistan dan Sudan mengapa kita tidak kata (pada Streram) tidak perlu pergi ketika itu,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon PRK N27 Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas, Mambau dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.

Anwar seterusnya menjelaskan, Streram dan rakan-rakannya berjuang di mahkamah bagi membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional di DUN Rantau selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana pada waktu itu kerajaan PH baru dibentuk, manakala beliau baru keluar penjara.

Justeru, tegasnya, Streram tidak boleh diketepikan sebagai calon PRK DUN Rantau kerana beliau yang menjadi mangsa penipuan selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon pada PRU-14 telah berjaya mendapatkan hak beliau yang dinafikan dan dizalimi ketika itu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kaum India telah memberi kemenangan kepada calon Melayu dan kaum lain dalam PRU-14 malah PRK Port Dickson sebelum ini, maka isu calon berdasarkan kaum tidak sepatutnya timbul.

Sementara itu, Streram memaklumkan, beliau berkhidmat sebagai doktor sukarelawan di Afghanistan pada tahun 2010 dan Sudan pada tahun 2011 dibawah program Doctor Without Border. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini