LUSAIL, Qatar 7 Mac – Valentino Rossi tidak dapat bekerja dengan jurutera pilihan pertamanya di Sepang, musim lalu, ekoran masalah pasport.
Pengurus pasukan Yamaha, Massimo Meregalli membuat pendedahan tersebut hanya beberapa hari sebelum perlumbaan pembuka tirai MotoGP bagi musim 2019 bermula di Qatar, hujung minggu ini. Pelumba yang mendapat jolokan The Doctor itu, hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-18, dalam perlumbaan yang dimenangi Marc Marquez.
Rossi berada di landasan tepat untuk melakar kemenangan pertamanya dalam 28 perlumbaan MotoGP, sewaktu bencana itu melanda. Pelumba Itali itu terjatuh ketika berada di selekoh satu, sehingga membuka laluan kepada Marquez dan pelumba lain memintasnya.
Walaupun kemalangan tersebut berpunca daripada kesilapan pelumba itu sendiri, Meregalli memberi bayangan ekoran isu pasport telah berlaku pertelingkahan kecil dalam pasukan.
“Sewaktu di Sepang tahun lalu, Valentino terpaksa bekerjasama dengan jurutera baharunya hanya disebab jurutera pilihannya berdepan masalah pasport, jadi dia tidak dapat datang! Rossi berasa positif dan kemudian, memutuskan untuk melakukan perubahan. Akhirnya dia dapat juruteranya yang sekarang,” kata Meregalli kepada Crash.net.
Jika pelumba veteran itu berjaya memenangi perlumbaan tersebut, maka, ia menjadi kemenangan ke-90 Rossi, selepas kali terakhir berbuat demikian di Assen pada 2017. – AGENSI











