Anak penyu dilepaskan di Gertak Sanggul - Utusan Malaysia

Anak penyu dilepaskan di Gertak Sanggul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 22 Mac – Program pelepasan sebanyak 70 ekor anak penyu spesies Lipas berusia seminggu di pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul, di sini petang ini menarik perhatian lebih 50 pengunjung pantai tersebut.

Program pelepasan yang jarang-jarang dilakukan itu dikendalikan Jabatan Perikanan membabitkan anak-anak penyu daripada induk yang mendarat dan bertelur di situ pada 18 Februari lalu.

Menurut Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar, pelepasan anak-anak penyu spesies Lipas tu petang ini amat istimewa memandangkan spesies tersebut dianggap terancam ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kali terakhir pendaratan penyu itu direkodkan di pantai negeri ini adalah pada 2015 dan kawasan pantai negeri ini merupakan satu-satunya pusat pendaratan penyu spesies tersebut untuk bertelur selain spesies Agar.

“Kita berasa berbangga kerana program sebegini berjaya menarik perhatian orang ramai.

“Ini menunjukkan adanya kesedaran tinggi dalam kalangan orang ramai untuk memastikan spesies penyu ini dapat dipertahankan daripada kepupusan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program tersebut di sini petang ini.

Menurut Nor Aisyah, anak-anak penyu Lipas yang dilepaskan petang ini adalah daripada telur-telur penyu yang ditemukan oleh seorang pengusaha restoran makanan laut, Tan Tatt Ghee, 45, di Gertak Sanggul di sini pada 18 Februari lalu.

Katanya, Tatt Ghee kemudiannya menghubungi Jabatan Perikanan sebelum telur itu dieram di Pusat Konservasi Penyu, Pantai Kerachut, Teluk Bayang di sini sebelum anak-anak penyu tersebut dilepaskan semula di pantai di mana induknya mendarat untuk bertelur.

“Kita memuji tindakan yang diambil Tatt Ghee ini kerana secara tidak langsung dapat memastikan kelangsungan spesies penyu Lipas untuk generasi akan datang.

“Kita juga berharap mana-mana pihak selepas ini yang terjumpa telur, anak atau induk penyu di perairan negeri ini segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini